2012/11/14

Genggam Straight A Daerah Pasir Gudang


JOHOR BAHRU 28 Feb. – Bagi meningkatkan motivasi pelajar, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Gudang melancarkan program Genggam Straight A di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Penggawa Timur, Masai dekat sini, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan serentak dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 Sekolah Kawalan dan Kelas Rancangan Khas (KRK) Daerah Pasir Gudang itu dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Gudang, Hamzi Jamhari.

Turut hadir 14 pengetua sekolah di kawasan itu selain ibu bapa dan pelajar cemerlang. Bengkel Easy Math turut dianjurkan bagi memeriahkan program tersebut.

Majlis pelancaran Genggam Straight A oleh dirasmikan penuh simbolik oleh Hamzi dengan menekan bongkah A sebagai gimik perasmian dan seterusnya memotong reben kain rentang yang dibawa oleh robot ciptaan pelajar KRK SMK Ulu Tiram.

Penolong Pegawai Pelajaran Menengah (Murid) PPD Pasir Gudang, Mohd. Sakirin Muhd. Shah berkata, program itu bertujuan meningkatkan semangat dan motivasi pelajar SK dan KRK supaya mencapai visi dan misi PPD Pasir Gudang melahirkan 100 peratus pelajar mendapat sekurang-kurang 5A dan 50 peratus pelajar KRK mendapat perfect score dalam PMR 2012.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu patriotik oleh pelajar SMK Ulu Tiram dengan lagu Warisan dan Si Baju Hijau.

Seramai 27 pelajar turut dianugerah pelajar Cemerlang PMR 2012. Anugerah Pelajar Terbaik Lelaki dimenangi Mohamad Ika Danial Abdullah dari SMK Taman Johor Jaya 1 dan Anugerah Pelajar Terbaik Perempuan diraih Gan Jie En dari SMK Taman Daya.

SMK Kota Masai pula cemerlang dengan memenangi lima anugerah iaitu Gred Purata Mata Pelajaran Terbaik dalam subjek Matematik, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam dalam PMR 2011. SMK Kota Masai turut melakar sejarah baru KRK Pasir Gudang apabila menerima Anugerah Sekolah Terbaik dengan rekod GPS 1.21.

SMK Ulu Tiram pula menerima Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Bahasa Melayu, SMK Pasir Gudang (Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Bahasa Inggeris) dan SMK Kota Puteri 2 (Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Sains).

Penerima Anugerah Sekolah Peningkatan Terbaik PMR 2011 adalah SMK Kota Puteri 2 yang mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.68 serta peningkatan peratusan pelajar cemerlang 16.25 peratus.

No comments:

Post a Comment